Monday, 19 December 2011

CARA PENJAGAAN ORKID

Pada bab ini penulis membincangkan  elemen-elemen penting untuk mendapatkan orkid yang hidup subur, sihat dan seterusnya memberikan anda kepuasan melihat bunganya. 4 elemen yang  dibincangkan nanti adalah  daripada pengalaman penulis dan perkongsian maklumat sesama penanam orkid  berdasarkan cuaca iklim tropika di Malaysia. Pengalaman penulis, penjagaan seperti penyiraman  dilakukan secara automatik pada hari bekerja. Pada hari cuti hujung minggu, penulis lakukan siraman secara manual, pemeriksaan penyakit,  pembajaan dan pembiakan jika perlu.
ROOT GOOD, GROWTH GOOD, FLOWER GOOD’
Kata-kata di atas adalah satu  lagi petua  yang amat bagus untuk anda ingat di dalam penjagaan orkid. Setiap pokok baru di tanam atau pemindahan pasu , penulis akan memberi perhatian lebih di dalam usaha untuk memberi pertumbuhan akar baru dengan baik dan sihat.
1.   Penyiraman
Jika anda ragu ragu untuk menyiram, JANGAN SIRAM !
Di atas adalah satu  petua yang popular  dan dijadikan panduan oleh penanam orkid. Ini kerana dibimbangi anda telah melakukan penyiraman yang  melampau terhadap koleksi orkid anda. Kesan buruk tabiat ini ialah  anda ‘menjemput’ penyakit  kepada kloeksi orkid anda.  Ini kerana orkid mampu menyimpan air  di dalam bebawangnya  seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Orkid juga mempunyai akar udara yang mampu menyerap wap air di persekitaran hidupnya. Walaupun begitu kadar penyiraman orkid bergantung kepada beberapa faktor seperti:
a. Cuaca semasa
Kadar kekerapan penyiraman di musim panas sudah tentunya lebih berbanding di musim hujan.
b. Media tanaman digunakan
Jika anda menggunakan media yang dapat menyimpan air lebih lama, maka kadar penyiraman hendaklah  kurang daripada media yang cepat kering.
c. Iklim mikro
Bermaksud adalah  iklim kawasan penanaman anda. Ini kerana iklim mikro adalah berbeza beza di antara anda dengan penanam orkid yang lain.
Penyiraman hendaklah dilakukan sebaik baiknya pada waktu pagi atau petang.  Penyiraman di waktu tengahari  akan  menyebabkan  air yang bertakung di celah daun   akan menyebabkan penyakit reput pucuk dan daun melecur dek proses pemanasan air oleh matahari.
Teknik penyiraman boleh digunakan  secara manual atau memasang satu sistem penyiraman automatik yang mudah seperti penulis gunakan.
2 .   Pengudaraan
Orkid memerlukan pengudaraan yang baik supaya tidak mudah di serang penyakit terutamanya penyakit yang disebabkan bawaan kulat. Pengudaraan yang baik boleh diberi dengan susun atur  orkid  yang tidak terlalu padat atau membekal  pengudaraan buatan seperti memasang kipas. Penulis hanya menggunakan teknik susun atur orkid sahaja bagi menjimatkan kos selengaraan.
3.  Pembajaan
Pembajaan adala sesuatu  yang mesti diberi  kepada tanaman  termasuk orkid untuk mendapatkan kualiti hidup  orkid yang lebih baik. Bagaiman teknik membaja orkid?
WEAKLY,  WEEKLY‘
Di atas adalah satu lagi  petua yang  bagus di jadikan panduan untuk anda membaja orkid. Ia membawa maksud anda menggunakan sukatan kepekatan  baja yang rendah  untuk setiap minggu semburan. Orkid hanya menyerap nutrien yang diperlukan sahaja pada sesuatu ketika. Jangan  menggunakan kepekatan  tinggi dan disembur sebulan sekali. Ini adalah teknik yang salah  dan merugikan anda.
a)       Panduan memilih baja
Penerangan unsur unsur di dalam baja bagi keperluan tanaman adalah kompleks. Penulis  cuba ringkaskan bahawa pemilihan baja bergantung kepada kehendak anda. Dipasaran terdapat pelbagai jenis baja yang dijual  untuk pilihan pengguna.  Jika inginkan tumbesaran pokok anda perlukan baja yang mengandungi kadar nitrogen (N) yang lebih tinggi. Jika untuk pembungaan, anda perlukan baja yang kandungan fosforus(P) dan kalium(K) yang lebih tinggi.
Biasanya pada  label baja akan tertera semua kandungan ketiga-tiga unsur tersebut.
Contoh: Baja A : N P K  +TE  :  13 27 27   1%
Untuk Baja A tersebut, ia sesuai untuk pembungaan orkid anda kerana  mengandungi  unsur nitrogen 13 % dan unsur fosforus dan kalium sebanyak 27%. +TE di sini bermaksud  baja ini mempunyai  ‘trace element’ atau unsur surih  sebanyak 1%. Unsur surih bermaksud  nutrien tambahan yang diperlukan oleh tanaman tapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Ia boleh diumpamakan seperti anda makan nasi dengan aneka lauk pauk. Nasi adalah keperluan  utama anda, lauk pauk ada keperluan sampingan sahaja.
Penulis menggunakan baja organik ‘B’GREEN  seaweed’  untuk  memberi pertumbuhan yang sihat dan ‘B’GREEN bloom & fruit’ untuk  membekal nutrien yang diperlukan untuk orkid berbunga.
B’GREEN seaweed   adalah baja organik campuran yang diperkaya dengan seaweed yang mana  ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai baja kerana mengandungi  beberapa hormon semulajadi yang amat  diperlukan oleh tumbuhan, mengandungi 60 unsur surih(TE) dan mengandungi  elemen sebagai  anti  beberapa penyakit  bawaan kulat dan serangga penghisap cecair tumbuhan.
B’GREEN bloom & fruit  adalah campuran  baja bukan organik  N P K  +TE : 5 35 15 2% dengan satu bahan organik bertujuan  untuk mempermudahkan dan mempercepatkan kadar penyerapan  nutrien oleh  tumbuhan.

No comments:

Post a Comment