Monday, 19 December 2011

Cara Menanam Orkid

1)  Susahkah menanam orkid?
Saya minat orkid tapi high maintenance la….”
Mak cik minat tengok je nak tanam tak reti..”
Orkid ? Susah la, bunga masa beli je lepas tu tak mau bunga dah..”
Orkid mak cik banyak mati, siram, baja semua cukup dah, tu yang frust dah nak jaga orkid.”
Itulah beberapa komen spontan yang penulis dengar daripada penggemar flora  apabila  mereka berkunjung ke pameran pameran orkid yang turut di hadiri oleh penulis.
Secara umum menjawab persoalan persoalan di atas, sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk anda ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’  untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah anda melakukannya, anda akan gembira apabila melihat orkid anda hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.
Bermula dari sini penulis akan cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca segala aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat  menambahkan lagi kefahaman pembaca tentang flora  unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin penulis akan sertakan foto agar lebih mudah difahami oleh pembaca.

2)  Media penanaman orkid
Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya  seperti telah di terangkan di dalam sub topik; orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam anda. Setiap media diterangkan secara ringkas untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran penggunaannya.
a.   Pecahan batu bata
Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang. Biasanya penulis mendapatkan sumber pecahan batu bata ini di kawasan pembinaan perumahan.
Teknik menggunakan;
i.                    Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii.                 Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii.               Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv.               Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid anda. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
Nota : Pangkal orkid  simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya  terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.
b.   Pecahan arang
Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.
Teknik menggunakan:
i.                    Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii.                 Siram arang menggunakan aliran air  supaya sisa garam dapat dibuang.
iii.               Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.
c.      Serbuk kayu
Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.
Teknik menggunakan:
( Penulis menggunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i.                    Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii.                 Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii.               Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah, penulis campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.
d.   Perlite
Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid. Begitu juga dengan penulis, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. Penulis menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.
Teknik menggunakan:
i.                    Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii.                 Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii.               Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv.               Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.
e.   Sphagnum moss
Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid  epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.
Teknik menggunakan;
i.                    Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia  terasa lembap.
ii.                 Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya
f.   Potongan batang paku pakis gajah.
Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau.  Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.
Teknik menggunakan;
i.                    Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian  orkid yang hendak di tanam.
ii.                 Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda. Penulis biasa menggunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.
g.   Tunggul kayu
Media ini sesuai untuk  tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah.  Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit  atau di tepi sungai.
Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.
h.   Potongan dahan tembusu
Penulis menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada  famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian penulis  orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.
i.   Tanah campuran
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. Penulis biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.
j. Tiada media
Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan  sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.
Penyediaan persekitaran hidup orkid
Orkid seperti  tanaman yang lain juga yang memerlukan penanam menyediakan persekitaran hidup yang sesuai untuknya. Perkataan lain yang paling sesuai sekali ialah kadar pencahayaan. Kadar pencahayaan kepada orkid boleh di beri dengan  penyediaan  teduhan sebab setiap jenis orkid memerlukan kadar cahaya yang berbeza-beza. Sebagai contoh, orkid famili Arachnis memerlukan cahaya matahari 100% manakala orkid famili Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50% untuk hidup dengan subur. Ada 2 teknik teduhan yang biasa digunakan oleh penanam orkid.
a.      Rumah teduhan
Teknik ini amat popular  dikalangan penggemar orkid kerana mudah untuk menyediakan kadar teduhan. Untuk teduhan biasanya mereka menggunakan jaring teduhan berwarna hitam yang biasa dijual. Kadar teduhan jaring tersebut biasanya adalah 50% dan terdapat  beberapa jenis untuk pilihan penanam.
b.      Tanaman bersama pokok teduhan
Teknik ini boleh dikatakan orkid dijadikan antara elemen penyeri taman. Teduhan orkid diperolehi melalui kanopi pokok-pokok teduhan yang ada di taman penanam, atau terus menanam orkid pada dahan-dahan pokok  di taman. Ia lebih kelihatan semulajadi. Sesuai untuk pembinaan landskap berasaskan orkid atau diintegrasikan bersama bunga-bungaan lain.
Cara pembiakan orkid
Sebagai penggemar orkid, fasa pembiakan orkid memang tidak dapat di elakkan kerana  ia sudah tentu memberikan anda kelebihan untuk meningkatkan bilangan pokok di dalam koleksi anda. Selain itu risiko anda untuk kehilangan total pokok yang mungkin mati di serang penyakit juga amat rendah kerana mempunyai beberapa pokok  daripada jenis yang sama.
Orkid boleh dibiakkan dengan beberapa cara antaranya:
- pembiakan daripada anak benih
daripada ‘flask’
pot komuniti
pot individu
- pembahagian rumpun
- keratan daripada pokok induk
- benih
Daripada  4 cara di atas,  teknik akhir tidak dibincangkan di sini. Ini kerana adalah amat rumit  untuk dilakukan penyemaian secara tersebut. Penulis sendiri tiada pengalaman berkenaan perkara tersebut. Walaupun begitu amat cukup untuk pembaca mengetahui 3 cara yang pertama disebutkan untuk menggandakan koleksi orkid pembaca.
Pembiakan melalui anak benih

1.                  Pengeluaran daripada ‘flask’
Benih yang telah disemai akan membesar menjadi anak benih di dalam ‘flask’. Apabila telah cukup besar ia perlu dikeluarkan untuk ditanam di dalam pasu. Anda boleh membeli anak benih di dalam ‘flask’ ini di nurseri orkid yang menjualnya dengan harga serendah  RM20.00, bergantung kepada sesuatu jenis orkid.
Berikut diterangkan teknik mengeluarkan anak benih daripada ‘flask’.
Anak orkid didalam botol (flask) boleh didapati dikebanyakkan nursery orkid.  Harganya dari RM20 hinggalah RM1000 mengikut jenis orkid.  Dalam satu botol ada lebih kurang 5 hingga 50 anak orkid.
Bahan bahan yang diperlukan;

1.                  Racun kulat ( keterangan lanjut dalan bab 3)

2.                  Lumut (sphagnum moss) atau sabut kelapa (yang sudah dihancurkan).  Basahkan lumut air atau sabut kelapa tersebut.

3.                  Kertas suratkhabar

Caranya;
1.                  Keluarkan anak orkid dari botol.  Jika mulut botol itu besar, gunakan penyepit (forceps) yang telah disterilkan.  Jika mulut botol itu kecil maka botol hendaklah dipecahkan.

2.                  Basuhkan anak orkid menggunakan air.  Pastikan tiada agar-agar (jelly) melekat diakar pokok.

3.                  Rendamkan anak orkid itu kedalam larutan anti fungus selama 10 hingga 15 minit.

4.                  Tuskan dan keringkan anak orkid itu di atas kertas suratkhabar selama setengah jam (hanya letakkan di atas kertas suratkhabar dan dianginkan)

5.                  Setelah itu balutkan akar anak orkid dengan lumut air atau sabut kelapa dan masukkan kedalam pasu mengikut saiznya (pasu yang kecil dipanggil thumbpot)

6.                  Untuk anak pokok yang terlalu kecil kumpulkan dan ditanam didalam satu pasu (pasu ini dipanggil compot)

7.                  Letakkan di tempat yang teduh dan tidak terkena air hujan.

8.                  Siram/semburkan baja penyubur sebanyak 2 atau 3 kali seminggu.

9.                  Apabila sudah membesar, pindahkan ke pasu yang besar sedikit mengikut saiz yang bersesuaian dengan anak orkid.  Ulangi proses pemindahan ini 2 atau 3 kali sehingga orkid matang.
Jangkamasa untuk anak orkid membesar hingga matang dan bersedia untuk berbunga adalah dari 5 bulan hingga 3 tahun bergantung pada jenis orkid.  Contohnya, orkid jenis phal mengambil masa sekurang kurangnya 8 bulan untuk berbunga.

2.         Pot komuniti
Orkid yang telah dikeluarkan daripada ‘flask’ dan telah ditanam secara kelompok di dalam satu pasu dikenali sebagai  ‘Communiy Pot’ atau ringkasnya ‘compot’. Penanam boleh terus membeli orkid yang telah siap di tanam di dalam ‘compot’ di nurseri orkid.Setiap ‘compot’ biasanya mengandungi antara 10-20 anak pokok. Risiko orkid untuk hidup jika dibiakkan  cara begini adalah lebih tinggi berbanding secara ‘flask’. Oleh itu  bagi anda yang kurang pengalaman, boleh membeli ‘compot’ orkid  untuk menggandakan koleksi orkid anda.

3.    Pot individu
Setelah orkid di dalam ‘compot’ membesar, nurseri akan memindahkannya dalam pasu yang lebih besar  secara individu. Maka, anda juga boleh membeli  orkid secara begini kerana biasa orkid yang di tanam di dalam pasu individu telah hidup stabil.
Pembahagian rumpun
Teknik pembiakan ini amat sesuai untuk orkid simpodial. Apabila rumpun orkid telah cukup besar ia boleh dipecahkan kepada beberapa rumpun kecil untuk dibiakkan.
Keratan daripada pokok induk
Teknik  pembiakan ini  amat sesuai untuk orkid monopodial. Sebahagian pucuk orkid yang telah mempunyai akar dipotong  daripada pokok induk dan di tanam sebagai satu individu yang baru.

No comments:

Post a Comment